1News Online:
Home » » Percutian lengkap di ibu kota

Percutian lengkap di ibu kota

Saturday, December 1, 2012 | 9:51 PM


JIKA anda merancang untuk bercuti sambil melakukan aktiviti di ibu kota, Hotel One World yang terletak di Petaling Jaya sedia memenuhi segala keperluan anda sepanjang bercuti.

Hotel bertaraf lima bintang yang dibina dengan ciri-ciri kontemporari dan klasik itu pasti tidak mengecewakan setiap tetamu yang datang.



Ini kerana Hotel One World menawarkan pakej penginapan dan percutian lengkap yang sukar dinikmati pengunjung jika menginap di hotel lain.

Selain terletak dalam lokasi berkembar dengan pusat beli-belah terkenal 1 Utama, hotel ini juga menyajikan pelbagai hiburan dan kemudahan lain yang mampu mengisi masa berkualiti setiap tetamunya.

Keterujaan dan kelainan di Hotel One World dapat dirasai sebaik sahaja anda melangkah masuk ke ruang lobi. Melihat susun atur, kilauan warna perang serta lampu candelier yang menghiasi siling, pasti memberi ketenangan kepada para pengunjung.

Ditambah pula dengan layanan mesra daripada kakitangan hotel tersebut, membuatkan anda tidak sabar untuk memulakan ekspedisi ke seluruh pelosok hotel, sekali gus merasai kemudahan yang disediakan.

Di dalam bangunan setinggi 20 tingkat itu, turut disediakan adalah pelbagai kemudahan lain seperti coffee house, restoran, gim, kolam renang, spa, lounge, pusat bisnes dan Kelab Havana yang membolehkan anda berehat tanpa gangguan.

Sebelum melangkah ke kamar tidur, penulis yang berpeluang menginap di hotel itu baru-baru ini, singgah dahulu ke Cinnamon Coffee House untuk merasai masakan yang disediakan.

Ternyata hidangan para chef berpengalaman dan berkemahiran di hotel itu berjaya 'menangkap' selera rakyat Malaysia dan Asia.

Di Cinnamon Coffee House, anda boleh mendapatkan pelbagai sajian tidak kira tempatan atau antarabangsa yang disediakan mengikut kehendak sendiri, sama ada bufet atau ala carte.

Namun, untuk merasai suasana yang lebih santai, pengunjung boleh melepak di kafe The Sphere Lounge yang terletak bersebelahan lobi. Di sini, suasana yang lebih santai sesuai untuk sesi bersembang.

Kafe berkonsep terbuka itu mampu menampung hampir 150 pengunjung pada satu-satu masa.

Pada sebelah malam, pengunjung The Sphere Lounge akan dihiburkan dengan kumpulan muzik. Sambil melepak bersama rakan atau keluarga, pasti halwa telinga terhibur mendengar alunan muzik yang menghiburkan.

Selain itu, anda juga boleh menikmati juadah di Restoran Cina Zuan Yuan, Restoran Jepun Kura, Long Bar serta Kelab Havana.

Untuk menginap di Hotel One World, pengunjung diberi pilihan penginapan di enam jenis bilik daripada 438 bilik yang sedia ada.

Antaranya adalah bilik Superior, Deluxe, Executive Deluxe, Suite Junior, Suites Premier dan Executive Suites yang menjanjikan keselesaan.

Walaupun bilik tersebut mengikut kelas tertentu, namun kesemua unit dilengkapi dengan kemudahan utama termasuk set televisyen dengan rangkaian stesen tempatan dan satelit, telefon dengan talian dail terus antarabangsa (IDD), bar mini dan sebagainya.

Sepanjang berada di hotel ini, pengunjung boleh beristirehat dengan memanjakan tubuh menerusi rawatan badan di Thann Sanctuary Spa yang telah memenangi pelbagai anugerah.

Tatkala anak-anak riang bermandi-manda di kolam renang, ibu dan bapa berkesempatan memulihkan kesegaran tubuh dengan rawatan dan urutan tradisional Thai di spa tersebut.

Bagi golongan lelaki yang meminati sukan golf, mereka boleh mengintai ke Bandar Utama Golf Driving Range yang menyediakan 60 lapangan serta permainan golf sembilan lubang.

Selain bercuti, Hotel One World sesuai untuk mengadakan kursus atau mesyuarat kerana dilengkapi dengan bilik seminar yang lengkap dengan kemudahan asas seperti projektor, pembesar suara dan sebagainya.

Malah dewan yang ada cukup untuk memuatkan 2,000 peserta pada satu masa, selain dewan berkenaan juga sering digunakan bagi majlis perkahwinan atau makan malam.

Berikutan kelebihan itu, Hotel One World sepanjang tahun ini telah berjaya menggondol Anugerah Hotel Antarabangsa Asia Pasifik 2012 bagi kategori Hotel Persidangan Terbaik Malaysia dan Asia Pasifik dan Anugerah Pilihan Pengembara TripAdvisor 2012 bagi kategori Hotel Mewah di Malaysia.

Untuk tempahan dan maklumat lanjut, sila hubungi 603 7681 1111 atau 7712 2222 atau layari www.oneworldhotel.com.my.
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger