1News Online:
Home » » Risiko ketuat kelamin

Risiko ketuat kelamin

Monday, December 10, 2012 | 11:27 AM


Ketuat yang tumbuh pada alat kelamin dipanggil ketuat kelamin. Ketuat kelamin adalah sejenis penyakit kelamin. Dalam terma perubatan, keadaan ini dikenali sebagai genital wart (condyloma, condylomata acuminata, venereal wart). Ia sejenis ketumbuhan kecil dan benigna kulit (sering kali keras), pada dubur dan alat kelamin. Sudahlah ia tumbuh kecil-kecil, ada yang kelihatan sedikit menonjol (seperti bengkak atau benjol) dan ada juga yang rata, berwarna seakan-akan kulit, tidak ketara hingga tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Sesetengahnya pula langsung tidak menunjukkan gejala walaupun telah dijangkiti. Ini mungkin berukuran garis pusat (diameter) daripada sekecil-kecil 1-2 millimeter.

Ketuat kelamin adalah salah satu daripada penyakit yang ditularkan melalui hubungan kelamin (sexually transmitted disease-STD), yang paling biasa terjadi. Ketuat kelamin menghinggapi tisu-tisu lembap pada bahagian alat sulit seseorang, baik lelaki, wanita atau kanak-kanak. Ia disebarkan oleh virus Human Papillomavirus (HPV) yang sangat mudah berjangkit, menjangkiti permukaan atas kulit. Penyakit ketuat kelamin tersebar melalui sentuhan langsung dari kulit ke kulit ketika melakukan hubungan seks melalui faraj, dubur atau secara oral dengan seseorang yang telah pun dijangkiti penyakit tersebut.

Gejala ketuat kelamin mula kelihatan dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga minggu selepas mengadakan hubungan seks dengan seseorang yang telah dijangkiti penyakit ini. Oleh kerana tempoh pengeraman yang agak panjang, kadangkala gejala hanya akan kelihatan dalam tempoh beberapa bulan atau tahun dan adakalanya ia tidak kelihatan langsung.

HPV, terutamanya merebak melalui hubungan seks. Ia juga boleh menjangkiti bayi semasa proses kelahiran atau melalui sentuhan dengan jari yang dijangkiti (biasanya kepada kanak-kanak). Kebanyakan jangkitan ini adalah benigna (bukan kanser), disebabkan oleh HPV jenis sub-type 6 dan 11. Namun, ada juga jenis yang onkogenik dan boleh menyebabkan kanser dalam jangka masa panjang.

Seks oralDi kalangan wanita, ia boleh bersembunyi di dalam faraj, vulva (bibir faraj), antara alat kelamin dengan dubur atau pangkal rahim (serviks). Sementara itu, bagi lelaki, ketuat kelamin boleh bertempat di lubang zakar, skrotum (buah zakar) atau dubur. Keadaan ini boleh dihidapi di dalam mulut atau tekak sekiranya seseorang itu melakukan seks oral dengan mereka yang telah dijangkiti.

Walaupun ketuat kelamin boleh dirawat dengan ubat-ubatan mahupun pembedahan, namun ia tetap menjadi satu masalah kesihatan yang serius.

Faktor utama yang menyebabkan keadaan prakanser dan kanser serviks untuk wanita adalah virus HPV. HPV tertentu juga mempunyai kaitan dengan kanser vulva, kanser dubur dan kanser penis. Ini lebih penting berbanding faktor-faktor lain yang berisiko bagi kanser serviks seperti latar belakang sosioekonomi yang rendah, seks rambang, mempunyai ramai anak, merokok dan usia yang muda semasa hubungan seks yang pertama.

Untuk makluman, virus HPV didapati dalam 99.7 peratus kes kanser serviks. Di antara 90 jenis virus HPV yang dikenal pasti, virus yang menyebabkan kanser serviks di seluruh dunia datang daripada jenis HPV 16 dan jenis HPV 18 lebih kerap ditemui.

Wanita yang telah berkahwin atau pernah melakukan hubungan seks perlu menjalani ujian pap smear. Ujian pap smear adalah suatu ujian saringan yang murah, ringkas, tidak memerlukan banyak masa, selesa dan boleh didapati di kebanyakan pusat perkhidmatan kesihatan.

Ujian ini dilakukan oleh seorang pekerja kesihatan sama ada doktor atau jururawat di mana pemeriksaan dalaman dibuat. Sedikit calitan pada pangkal rahim (serviks) diambil dan dihantar ke makmal untuk mengkaji sel-sel sama ada normal atau tidak. Tujuan ujian ini adalah sebagai saringan bagi sesuatu populasi wanita untuk kanser atau prakanser serviks, agar wanita yang terlibat akan mendapat rawatan awal dan berkesan.

Terdapat beberapa gejala ketuat kelamin yang berbentuk bengkakan halus, berwarna kelabu, merah jambu dan kemerahan. Ada yang hitam atau gelap dan boleh membesar dengan pantas. Ketuat boleh tumbuh bersendirian atau banyak. Beberapa ketuat yang tumbuh berhampiran di antara satu sama lain boleh membentuk bunga kubis. Simptom ini boleh menyebabkan rasa gatal, panas membakar di sekitar alat kelamin, rasa tidak selesa, sakit atau berlaku pendarahan semasa melakukan hubungan seks.

RawatanPenggunaan kondom dapat mengurangkan merebaknya penyakit ini dan harus digalakkan. Rawatan adalah tidak selesa dan kadang-kadang menyakitkan. Rawatan juga tidak semestinya selalu berkesan dan boleh gagal atau masalah tersebut berulang semula. Rawatan bergantung kepada jenis, bilangan dan kedudukan ketuat itu. Ketuat yang lembut dan belum diselaputi keratin boleh dirawat dengan ubat sapuan. Ubat sapuan yang dimaksudkan termasuklah podophyllin, podophyllotoxin dan asid trikloroasetik.

Sementara itu, imiquimod (agen yang mengubah suai sistem imun) juga didapati berguna. Rawatan ini boleh dilakukan oleh pesakit di rumah sahaja dengan jangka masa rawatan antara satu hingga empat bulan. Wanita yang mendapat rawatan ini haruslah mengambil langkah-langkah mencegah kehamilan yang berkesan untuk mengelakkan kesan sampingan kepada anak di dalam kandungan. Sebaliknya, ketuat keras yang diselaputi keratin memerlukan pembuangan fizikal dengan prosedur pembedahan kecil atau memusnahkannya dengan prosedur krioterapi atau elektrokauteri. Rawatan laser agak mahal dan selalunya ditawarkan untuk kes-kes ketuat yang sangat besar atau sukar untuk dirawat sahaja. Pesakit juga harus menjalani ujian penyaringan untuk penyakit kelamin lain seperti sifilis dan HIV.

Bagi wanita yang mengalami ketuat kelamin semasa mengandung, penyakit ini boleh mendatangkan masalah semasa hamil sekiranya ketuat membesar, mendorong kepada kesukaran membuang air kecil. Ketuat pada dinding faraj mungkin mengurangkan keupayaan tisu-tisu faraj untuk meregang semasa proses bersalin. Walaupun jarang berlaku tetapi bayi yang dilahirkan oleh ibu yang menghidap ketuat alat kelamin mungkin mendapat bonjol daging lembut di dalam tekaknya dan memerlukan pembedahan bagi menghalang saluran pernafasan tersumbat.

Ubat sapu yang dinyatakan seperti di atas tidak sesuai digunakan semasa hamil, mengambil kira kemungkinan kesan sampingannya terhadap bayi di dalam kandungan. Tujuan rawatan semasa hamil adalah untuk mengurangkan kesan jangkitan kepada bayi. Pembedahan untuk melahirkan anak secara caesarean mungkin dipertimbangkan. Janganlah puan gusar dan khuatir kerana doktor yang merawat akan memantau keadaan puan dan juga anak dalam kandungan. Perlu dapatkan pemeriksaan yang berkala dan nasihat yang sewajar daripada doktor.
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger