LONDON - Brendan Rodgers terus mengulangi bahawa Liverpool
akan memperkuatkan pasukannya pada Januari depan.
Namun, pengurus Reds itu meragui apakah kelab tersebut mampu
membeli pemain utama dunia apabila pasaran perpindahan dibuka.
Sebelum kekalahan 1-3 kepada Aston Villa di Anfield, Sabtu
lalu, Rodgers mendakwa, dia tidak menganggap penamat tempat keempat dalam Liga
Perdana memenuhi cita-cita besar kelab itu musim ini, namun dia kini mengakui,
pasukannya memerlukan bantuan pada musim sejuk ini, terutama di bahagian
serangan.
Rodgers terlalu bergantung kepada Luis Suarez untuk mencipta
kreativiti dan mengancam kubu lawan selepas gagal mendapatkan seorang lagi
penyerang pada perpindahan musim panas lalu. Reds kini dikait dengan bintang
Sepanyol dan Barcelona, David Villa dengan bayaran 10 juta pound (RM49 juta).
Begitupun, Rodgers tidak begitu mempedulikan spekulasi yang
bertiup kencang dan mengakui, dia tidak pasti apakah kewangan Liverpool
memungkinkan pembelian pemain bintang berlaku.
Memang tidak syak lagi kami akan
terlibat dalam pasaran perpindahan pemain untuk mengukuhkan pasukan, malah
tidak perlu diragui bahawa kami mendapat sokongan penuh pihak pengurusan.
Namun, pembelian akan dipecah pula kepada dua perkara - apakah pemain bersedia
untuk dibeli dan kedua, apakah kami mampu membeli pemain itu.
Saya lihat banyak nama timbul
pada perpindahan Januari ini tetapi ada yang tidak praktikal kerana tidak ramai
pemain utama bakal terlibat pada perpindahan Januari nanti atau tidak semua
kelab yang mahukan wang daripada pasukan besar.
Namun, saya boleh memberi jaminan
ada sasaran yang kami mahu penuhi, jadi kami akan membawa masuk pemain yang
boleh membantu mencipta jaringan. Kalau kami boleh mendapatkannya, maka kami
benar-benar mampu mengukuhkan pasukan, katanya.
Bekas pengurus Swansea itu sebelum ini sering berkata, dia
menganggap musim pertamanya bersama Reds sebagai proses pembinaan semula
pasukan, justeru dia dia mungkin melakukan pembelian yang mahal pada Januari
nanti kerana khuatir jika dia mengambil bajet yang besar sekarang, itu akan
menjejaskan pelan jangka panjang mereka.
Kami sudah mempunyai gambaran
yang jelas mengenai siapa atau apa yang kami akan lakukan, tetapi pada akhirnya
ia bergantung kepada kemampuan kelab.
Kami akan berbelanja pada Januari
nanti untuk cuba membawa masuk beberapa muka baru dalam pasukan ini, tetapi
realiti sekarang, apakah nama-nama yang dikaitkan oleh pelbagai pihak sebelum
ini sedia untuk dibebaskan?
Tidak semua masalah kami akan
selesai pada pasaran perpindahan Januari nanti tetapi ia sekurang-kurangnya
menunjukkan adanya kemajuan atau usaha dilakukan oleh kelab untuk memperbaiki
pasukan," katanya. - AGENSI
Post a Comment