PETALING JAYA: Suami kepada pelakon Didie Alias iaitu
Norisham Ismail mengalami penyakit misteri selepas pulang menjalani program
Fear Factor Selebriti Malaysia terbitan Astro di Cape Town, Afrika Selatan,
baru-baru ini.
Didie berkata, suaminya mengalami masalah pedih hulu hati,
sesak nafas dan berpeluh sehingga menyebabkan terpaksa ditahan di hospital
beberapa kali untuk pemeriksaan lanjut selepas seminggu pulang dari negara
tersebut.
"Risau juga dibuatnya. Dah banyak kali suami keluar
masuk wad tetapi doktor hanya mengesahkan dia mungkin mengalami penyakit
gastrik yang teruk.
"Keadaan itu dikatakan berpunca daripada cara pemakanannya
yang tidak sesuai sepanjang dua minggu berada di Cape Town.
"Berdasarkan apa yang doktor cakap memang ada betulnya
sebab dia hilang selera makan apabila berada di sana kerana ketiadaan masakan
Melayu," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Rabu.
Bagaimanapun tambah Didie, akibat penyakit yang masih lagi
belum pulih itu, suaminya telah pulang ke kampung halamannya di Kampung Nuri,
Negeri Sembilan untuk menjalani rawatan perubatan secara tradidional.
"Alhamdulillah, sepanjang hampir dua minggu berada di
kampung, keadaannya semakin pulih. Kami ikhtiar cara tradisional pula selepas
pihak doktor turut memberi nasihat sedemikian.
"Sejak suami berada di kampung, keadaannya tidak seperti
dahulu. Mungkin kerana di kampung dia mendapat udara bersih dan pemakanannya
turut dijaga rapi, jadi dia pun semakin sihat," tuturnya.
Sementara itu Didie menyifatkan penyakit suaminya itu bukan
berpunca daripada gangguan sihir memandangkan mereka tidak pernah bermusuh
dengan sesiapa.
"Nak cakap penyakit misteri, memang misteri pun, kerana
penyakit gastrik seperti yang doktor sahkan itu tidak pulih seperti orang yang
biasa selalu kena.
"Tetapi saya tak anggap dia kena buatan orang. Mungkin
di kampung, suami dijaga dengan baik selain mendapat udara segar dan boleh
bersenam serta mampu makan sebanyak lima kali sehari," selorohnya yang
akan membawa pulang Norisham ke Kuala Lumpur pada Jumaat ini.
Selain pasangan itu, seramai 30 selebriti (dibahagikan kepada
15 kumpulan) menyertai Fear Factor Selebriti Malaysia antaranya Zoey, Dafi,
Jehan Miskin, Kaka, Elfira Loy, Hairul Azreen, Farish Aziz, Azam Pitt, Gambit
Saifullah, Ezlynn, Mejar Dr Faiz, Zawen Anwar, Hafizul (On Air) dan Johan
As'ari.


Post a Comment