1News Online:
Home » » Tablet HTC guna sistem operasi Windows

Tablet HTC guna sistem operasi Windows

Thursday, December 27, 2012 | 4:03 AM




Taipei: HTC Corp bercadang mengeluarkan tablet berasaskan sistem operasi Windows, memberikan Microsoft Corp satu lagi rakan sekutu dalam cabarannya menyaingi Apple Inc dan Google Inc dalam pasaran bernilai AS$63.2 bilion (RM194 bilion) demikian menurut mereka yang hampir dengan janji niaga itu.

HTC sedang mengusahakan peranti versi 12-inci dan 7-inci yang turut membolehkan panggilan telefon dibuat, kata sumber.
Kejar dominasi

Ketua Eksekutif Microsoft, Steve Ballmer, sedang bekerja keras memastikan lebih banyak tablet berasaskan Windows berada di pasaran, bagi mengejar dominasi Apple, Google dan Amazon.com Inc dalam pasaran yang diunjurkan penyelidik NPD akan meningkat sekali ganda kepada AS$123.5 bilion (RM379 bilion) pada 2015.

Microsoft akan mengakhiri tahun ini dengan 2.9 peratus perkongsian pasaran, berbanding Apple dan Google yang menguasai lebih 40 peratus, kata IDC.

“Pelbagai peranti berada di pasaran hari ini,” kata Wes Miller, penganalisis di Directions dalam satu temubual.

Beliau berkata, peranti dengan jangka hayat bateri yang panjang dan harga berpatutan menjadi pilihan hari ini.
Jurucakap HTC, Sally Julien dan jurucakap Redmond, wakil Microsoft di Washington, Mark Martin, enggan mengulas.

Produk HTC itu yang akan memasuki pasaran pada 2013, akan disandarkan kepada sistem operasi versi Windows RT direka untuk peranti menggunakan cip berasaskan teknologi ARM Holdings Plc, demikian menurut sumber hampir dengan rancangan itu.

Saingi iPad

Kelewatan mengeluarkan peranti berkenaan, selain versi lain menggunakan cip Intel Corp, bermakna Microsoft mempunyai sedikit peranti Windows berupaya menyaingi iPad.

Tablet 7-inci akan menjadi yang pertama bagi segmen saiz itu untuk Windows RT, berikutan usaha Microsoft bersaing dengan iPad mini, Kindle Fire Amazon dan Nexus 7 keluaran Google dalam segmen pasaran tablet yang lebih kecil dan murah.

Tablet HTC dijangka dikeluarkan pada suku ketiga dan digerakkan cip dihasilkan Qualcomm Inc, kata sumber lain.

HTC juga menimbang mengeluarkan tablet menggunakan Windows 8 yang digerakkan Intel, tetapi membatalkan rancangan itu kerana kosnya yang lebih tinggi, sekitar AS$1,000 (RM3,065) bagi peranti itu, sekali gus menyukarkannya untuk dijual. - Bloomberg
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger