1News Online:
Home » » Tentang Samsung Galaxy Note 2

Tentang Samsung Galaxy Note 2

Tuesday, December 18, 2012 | 12:11 AM



Samsung Galaxy Note 2 kini telah pun boleh didapati di kedai-kedai Samsung di seluruh Malaysia dengan harga RM2,299. Ramai yang amat teruja dengan kehadiran keluarga baru Galaxy ini kerana ia dikatakan lebih menarik berbanding iPhone 5 yang dikeluarkan oleh Apple baru-baru ini. Jom kita lihat sejauh manakah kehebatan telefon pintar + tablet ini.


Kehebatan utama pada Samsung Galaxy Note 2 sudah semestinya terletak pada S-Pen yang membolehkan anda menulis, melukis, melakar dan sebagainya dengan mudah. Ia juga memiliki skrin 5.5 inci yang dilihat amat bersesuaian untuk penggunaan S-Pen. Jika dibandingkan dengan Galaxy Note yang pertama, telefon pintar ini dilihat lebih lancar dengan adanya cip pemprosesan empat teras 1.6 GHz Cortex-A9. Malah RAM nya juga telah ditambah kepada 2GB bagi mengurangkan masalah kelambatan yang terdapat dalam peranti sebelum ini. Reka bentuk luaran Note 2 hampir menyerupai Samsung Galaxy S3 di mana ia lebih nipis dan melengkung di bahagian bucu. Mungkin Samsung ingin meneruskan konsep telefon pintar yang dibina untuk manusia ke dalam semua telefon pintar mereka di masa depan. Sekiranya anda pengguna yang aktif, anda sudah pasti akan gembira kerana Note 2 memiliki kapasiti bateri sebesar 3,100 mAh. Malah dengan teknologi sistem operasi Android Jelly Bean 4.1, anda sudah pasti tidak akan menyesal. Konsep paparan berganda (multi view) juga diterap masuk ke dalam Note 2, membolehkan anda menaip SMS atau Whatsapp sambil melayan video atau filem yang anda gemari. Teknologi S-Pen juga telah dinaik taraf di mana anda boleh melihat paparan awal sesuatu gambar sebelum anda sempat membukanya. Ia didatangkan dalam dua warna yang berlainan iaitu putih dan juga kelabu.

Kekurangan


Walaupun Note 2 telah dikemaskini kepada cip pemprosesan dan RAM yang lebih tinggi, anda tetap akan merasa sedikit kelambatan terutama ketika anda menggunakan S-Pen untuk melukis. Pengalaman menulis dengan S-Pen masih tidak mampu menyamai pengalaman anda ketika menulis dengan pen biasa. Disebabkan saiz skrin telefon pintar ini yang agak besar, anda mungkin akan menghadapi sedikit kesukaran untuk meletakkan ia ke dalam poket anda (terutama poket lelaki). Anda mungkin perlu membawa beg tangan sebagai alternatif. Terdapat juga sedikit kelambatan yang kelihatan ketika anda menggunakan kamera pada Note 2. Walaupun tidaklah terlalu teruk, namun ia mungkin boleh diperbaiki di masa depan. Buat masa ini kedai rasmi Samsung tidak memberi sebarang hadiah percuma seperti pelindung skrin untuk setiap pembelian Note 2.

Kesimpulan

Secara keseluruhan Samsung Galaxy Note 2 merupakan sebuah gabungan telefon pintar dan tablet yang amat menarik. Ia sudah semestinya akan menarik minat ramai pengguna Android di luar sana terutamanya mereka yang pernah memiliki Galaxy Note versi pertama. Sekiranya anda tidak kisah untuk memiliki sebuah telefon pintar yang besar, maka Note 2 mungkin boleh menjadi peneman anda. Saiz skrinnya yang agak besar sememangnya menjadi faktor kelebihan telefon pintar ini kerana anda boleh melihat gambar-gambar dan video dengan puas. Berdasarkan laman Mobile88, Note 2 rasmi boleh dimiliki dengan harga RM2,299 dan versi AP dengan harga RM1951 - RM2031.
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger