Berdoa
Doa merupakan terapi perubatan yang sangat mujarab dan
berkesan. Doa adalah medium komunikasi kita dengan Allah.
Semasa berdoa, kita sebenarnya sedang bercakap dan mengadu
kepada Allah. Siapa lebih layak untuk kita mengadu selain Allah? Hanya Allah
sahajalah sebaik-baik pendengar.
Dengan berdoa, hati dan jiwa kita akan lebih tenang. Seperti
mana yang kita sedia maklum, ketenangan amat penting dalam proses penyembuhan
kanser.
Ingat, kita berdoa, Allah pasti makbulkan, dengan syarat
kita berdoa dengan penuh pengharapan dan keyakinan dan bukan kerana arahan atau
suruhan sesiapa.
Berdoa daripada hati dan jiwa yang ikhlas, pintalah, Allah
Maha mendengar. Sabda Nabi SAW ;
"Hai manusia, tenangkanlah diri kamu, sesungguhnya
kalian bukanlah berdoa kepada yang tuli dan tidak pula kepada yang ghaib,
sesungguhnya kamu sedang berdoa kepada Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha
Dekat. Dia selalu bersama kamu.."
(Riwayat Bukhari dan Muslim melalui Abu Musa r.a.)
Berdoalah kepada Allah. Tidak semestinya doa di dalam bahasa
Arab. Berdoalah dalam apa jua bahasa. Berdoalah dari hati dan lisan, serta
tangan yang menadah mengharapkan perkenan dari Allah. Dalam sebuah hadis sahih
nabi SAW bersabda.
"Sesungguhnya tuhan kalian itu adalah Dzat Yang Maha
Pemalu dan Maha Pemurah, Dia merasa malu terhadap hamba-Nya yang menadahkan
tangannya kepada-Nya kemudian Dia mengembalikannya dengan hampa"
(Hadis riwayat Ibnu Majjah)
Yakinlah kepada Allah, berdoalah kepada-Nya kerana kuasa
mutlak penyembuh ada pada Allah.
Jika kita berusaha berubat ke seluruh dunia pun, tanpa doa
daripada kita dan perkenan-Nya, maka penyakit tetap tidak akan sembuh.
Kerana itu, dalam rawatan kanser menggunakan ayat Al-Quran,
doa adalah 'ubat' terpenting selepas bacaan rangkaian ayat syifa' kanser
daripada Al-Quran.
l Solat Tahajud
Kajian menunjukkan, solat tahajud yang diamalkan secara
konsisten, berupaya meningkatkan sistem pertahanan diri (imuniti) di mana
kualiti oksigen yang sangat segar di waktu awal pagi yang dihirup khusus untuk
hamba-Nya yang bangun untuk solat tahajud.
Amalan ini amat digalakkan untuk dilakukan oleh pesakit di
samping mengamalkan ayat Quran yang telah diberikan.
Solat tahajud mampu membina sistem pertahanan tubuh daripada
penyakit terus merebak dan pada masa sama, hati pesakit akan lebih tenang dan
lebih positif terhadap ujian kanser tersebut.
Solat tahajud dilakukan waktu malam selepas pesakit tidur
seketika. Aktiviti bangun malam dan membasahkan diri dengan wuduk, memberi
kesan amat positif kepada kesihatan seseorang secara umum dan kepada pesakit
itu sendiri secara khususnya.
Sememangnya, solat pada waktu malam dan awal pagi dalam
waktu dan persekitaran tenang akan membawa jiwa hampir kepada Allah.
Bacaan pula akan lebih khusyuk dan hati kita hadir dengan
setiap bacaan tersebut. Firman Allah ;
"Sesungguhnya bangun waktu malam adalah lebih tepat
(untuk khusyuk) dan bacaan waktu itu lebih berkesan.." (Al Muzammil, 6)
l Solat Taubat
Solat taubat dapat membersihkan jiwa dan rohani seseorang.
Apabila kita bertaubat kepada Allah dan memohon kepada Allah dengan seikhlas
hati dan penuh tawaduk dan rendah diri, insya-Allah taubat kita akan diterima.
Allah itu maha pengampun lagi maha penyayang. Maka
bertaubatlah kepadanya, agar diri dan jiwa kita dibersihkan, lalu penyakit kita
disembuhkan dengan doa dan amalan yang berterusan.
Amat penting untuk kita solat taubat memohon ampun kepada
Allah kerana, musibah yang menimpa kita adalah sebagai kafarah dosa kita
terdahulu. Justeru, pintalah keampunan kepada Allah dan segeralah melakukannya.
Firman Allah;
"Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah
ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.."
(An Nasr, 3)
Maka, segeralah bertaubat, ingatlah, dosa-dosa kita ialah
penghalang kepada doa-doa kita.
Dengan melakukan amalan ini, di samping mendapat keampunan
Allah, dengan izin Allah doa kita akan dimakbulkan, serta Allah akan mendengar
rintihan penyakit kita agar disembuhkan insya-Allah.
Amat penting untuk kita sedari bahawa penyakit datang
daripada Allah dan penawar juga di sisi Allah, pintalah keampunani-Nya dan
sujudlah!
Berdoa kepada Allah agar kanser kita disembuhkan dengan
izin-Nya. Pesakit dinasihati agar melakukan solat taubat sebanyak termampu,
lebih baik jika dapat diamalkan setiap malam.
Pada sujud yang terakhir, pesakit berdoalah kepada Allah di
dalam hati, agar diampunkan segala dosa dan diangkat segala penyakit yang
menimpa.
Percayalah, telah ramai pesakit saya yang melakukan amalan
ini dan merasakan sendiri hasilnya.
Tidak perlu kita ragu kepada kuasa Allah kerana kuasa
kesembuhan hak mutlak Allah, kita merancang dan berusaha, seterusnya kita
pulangkan tawakal kepada-Nya. Insya-Allah pesakit akan merasai hasilnya.
"Dari Abu Hurairah r.a. katanya : "Adalah
Rasulullah SAW membaca ketika sujud :
"Ya Allah, ampunilah segala dosa-dosaku, baik yang
kecil maupun yang, besar yang mula-mula dan yang penghabisan, yang
terang-terangan dan yang tersembunyi."
(Hadis sahih riwayat Muslim)
l Solat Hajat
Solat ini dilakukan selepas solat taubat. Setelah menyesal
dan mengakui segala dosa kita, maka selepas itulah kita pohon dan pinta kepada
Allah agar disembuhkan sakit yang menimpa diri.
Sebaik-baik cara memohon, adalah bersolat hajat dan
sebaik-baik masa memohon di dalam solat hajat adalah semasa sujud.
Pintalah kepada Allah dengan penuh keyakinan, Allah pasti
akan kabulkan.
l Zikir tahlil (La Ila ha Illa Allah)
Kalimah mulia ini bermaksud tiada tuhan yang disembah selain
Allah. Tiap kali berzikir tahlil ini, hati kita mengingati Allah dan menafikan
tuhan yang lain, selain daripada Allah.
Kadangkala, musibah yang menimpa kita adalah sebagai cemeti,
untuk memukul kita supaya kembali pulang kepada Allah.
Kerana itulah saya menekankan amalan zikir ini agar pesakit
kembali menghampirkan diri dengan Allah seterusnya memohon agar penyakit itu
disembuhkan.
Pesakit digalakkan berzikir sepanjang masa. Sebaik-baik
zikir adalah didalam hati. Kajian sains turut mendapati dengan berzikir tahlil
ini, perjalanan darah akan lebih lancar di dalam tubuh.
Jadikanlah hati kita ini sentiasa berzikir mengingati tuhan.
Amalan itu akan membuatkan jiwa kita menjadi tenang. Ketenangan merupakan nilai
paling berharga untuk seseorang pesakit kanser.
Kanser mampu pasif di dalam tubuh andai pesakit itu tenang,
sebaliknya, kanser yang telah pasif mampu kembali aktif seandainya pesakit
stres dan berada dalam tekanan emosi dan fikiran.
Jadi, sebagai seorang Islam, terapi paling baik untuk
menjadikan hati kita tenang adalah dengan berzikir mengingati Allah setiap
masa.
"Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram
dengan mengingat Allah (zikirullah). Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah
hati menjadi tenteram.." (Ar Ra'ad, 28)
Dalam kaedah rawatan perubatan Al Hidayah, pesakit sendiri
perlu membaca rangkaian ayat-ayat suci Al-Quran dan bukannya perawat.
Perawat hanya berperanan memeriksa pesakit dan memberikan
rangkaian ayat-ayat yang perlu dibaca oleh pesakit, seterusnya pesakit sendiri
yang perlu berusaha membacanya.
Kaedah ini tampak berbeza dengan kaedah rawatan alternatif
lain di mana perawat yang membacakan ayat-ayat Ruqyah kepada pesakit dan
pesakit hanya meminum air jampi atau tidak perlu berusaha sendiri.
Menerusi kaedah perubatan Al Hidayah ini, pesakit perlu
berusaha membaca ayat-ayat suci Al-Quran yang diberikan dan memohon kesembuhan
daripada Allah sendiri.
Seperkara lagi, jika kita membaca terjemahan ayat-ayat
Al-Quran yang diberikan kepada pesakit, terjemahannya memang tidak ada
kena-mengena dengan sakit yang sedang dihidapi atau berkaitan dengan mana-mana
proses penyembuhan.
Akal fikiran kita tidak mampu untuk mengkaji secara ilmiah
hubungan antara ayat-ayat ini dengan jenis-jenis kanser yang dihidapi.
Namun, inilah mukjizat Al-Quran. Hanya Allah yang tahu
hikmahnya. Apa yang pasti, ramai pesakit yang mengamalkan ayat ini telah
menemui jalan keluar dari belenggu kanser dengan izin Allah, ada di antara
mereka yang telah sembuh dan ada juga yang sedang meniti jalan kesembuhan,
berkat Al-Quran dan dengan Izin Allah.
Proses rawatan ini adalah sangat kritikal dan kerana itu
saya galakkan pesakit berjumpa saya empat atau enam minggu sekali untuk
meneruskan terapi agar dapat saya berikan ayat-ayat yang baru untuk dibaca dan
diamalkan pesakit.
Keterangan lanjut mengenai perubatan ini boleh didapati
daripada buku saya yang berjudul "Quranic Medicine in Healing Cancer"
yang insya-Allah akan dipasarkan pada Januari 2013.
Post a Comment