1News Online:
Home » , , » United tidak puas hati

United tidak puas hati

Saturday, December 15, 2012 | 10:29 AM


MANCHESTER – Penyerang Manchester United, Danny Welbeck menegaskan skuad The Red Devils masih belum berpuas hati dengan pencapaian mereka setakat ini walaupun muncul pendahulu Liga Perdana England.

United kini gah mengungguli saingan liga domestik selepas mencatatkan kemenangan dramatik 3-2 ke atas Manchester City di Stadium Etihad, Ahad lalu.

Gol kemenangan yang dijaringkan Robin van Persie pada masa kecederaan babak kedua bukan sahaja menceriakan pasukan pelawat, malah menjarakkan lagi jurang antara United dan City dengan perbezaan enam mata.

Kemenangan tersebut turut meleburkan rekod tanpa kalah City pada aksi liga musim ini dan kekalahan pertama penyandang juara itu di laman sendiri sejak Disember 2010.

United yang akan menentang Sunderland di Old Trafford malam ini turut berpeluang untuk terus mendominasi kempen liga jika City tewas atau seri di Newcastle United di St. James Park.

Welbeck berkata, rakan-rakan sepasukannya akan terus memberikan momentum terbaik walaupun sibuk dengan perayaan Krismas yang akan disambut tidak lama lagi.

“Perlawanan akan lebih mencabar dan pantas dan ia semakin penting walaupun ia terganggu dengan sambutan Krismas. Perayaan itu juga penting kerana ramai kanak-kanak yang tidak sabar menantikannya.

“Kemenangan pada minggu lalu sekadar memuaskan hati kami kerana kami dapat mendahului dengan enam mata.

“Begitupun, kami tidak akan leka kerana setiap satu mata akan dikira,” jelas Welbeck.

United mempamerkan aksi yang lebih konsisten apabila memenangi empat perlawanan liga terakhir selepas tewas 0-1 kepada Norwich City pada 17 November lalu.

Dalam pada itu, pemain sayap United, Ashley Young turut menyatakan keyakinan skuad kendalian Alex Ferguson mampu mengekalkan rekod kemenangan sepanjang bulan ini.

“Masih banyak lagi perlawanan dan jika kami mampu kekalkan momentum ini, tidak hairanlah pasukan akan terus mencatatkan kemenangan sehingga tahun depan.

“Kami harus berada di landasan yang betul dan sentiasa bersedia untuk menghadapi cabaran,” kata Young. – AFP
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger