1News Online:
Home » , , » Vidic kembali dalam pertahanan United

Vidic kembali dalam pertahanan United

Wednesday, December 5, 2012 | 9:46 AM

MANCHESTER - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson berharap kehadiran semula ketua pasukan, Nemanja Vidic pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara menentang kelab Romania, CFR Cluj esok, mampu menstabilkan kerapuhan bahagian pertahanan Red Devils.

Pemain Serbia berusia 31 tahun itu baru sahaja menyertai sesi latihan minggu lalu selepas pembedahan lutut pada September.

United sudah layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara selaku juara kumpulan dan Ferguson dijangka melakukan pertukaran dalam kesebelasan utama seperti mana ketika berdepan Galatasaray pada perlawanan sebelum ini.

Kehadiran Vidic memberikan kelegaan kepada Ferguson selepas United melepaskan tiga gol ketika menang ke atas Reading.

Ferguson akan merehatkan Rio Ferdinand dan Jonny Evans untuk pertemuan derby Manchester Ahad ini, tetapi dijangka tidak mahu menggunakan khidmat Vidic pada perlawanan itu.

"Saya berharap Vidic mampu bermain dalam perlawanan ini. Dia mempunyai peluang yang cerah untuk diturunkan.

"Segala-galanya bergantung kepada Vidic tetapi memang bonus (dengan kepulangan semula Vidic). Saya boleh menurunkan (Phil) Jones, (Chris) Smalling, Vidic dan (Alexander) Buttner boleh beraksi pada bek kiri.

"Keadaannya bertambah baik dengan rawatan fisioterapi dan dia menyertai sesi latihan Isnin lalu bersama skuad utama, nampaknya dia semakin bagus.

"Dia telah lama tidak beraksi dan kita tidak boleh terlalu memaksanya dan perlawanan Khamis ini mungkin permulaan yang baik, " katanya.

Ferguson percaya kehadiran Vidic mampu memperbaiki masalah pertahanan United yang dilihat begitu rapuh.

"Dia merupakan seorang pejuang di atas padang. Dia cukup hebat semasa bertahan dan banyak membantu kami pada separuh musim kedua lalu, " kata Ferguson.

Salah seorang pemain yang mungkin mendapat manfaat daripada pertukaran pemain ialah pemain muda, Nick Powell yang membuat kemunculan pertama dalam Liga Juara-Juara semasa kalah 1-0 kepada Galatasaray.

Pemain antarabangsa Scotland, Darren Fletcher yakin pemain berusia 18 tahun itu akan berkembang menjadi bintang disegani.

"Saya rasa kami tidak perlu bimbang kalah dalam perlawanan itu kerana menurunkan beberapa pemain muda yang mampu beraksi baik seperti Nick.

"Nick pemain hebat dan masih muda tetapi dia akan menjadi pemain penting di United, tiada keraguan lagi, " katanya. - AFP
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger