1News Online:
Home » , , » Benitez salah strategi

Benitez salah strategi

Friday, January 4, 2013 | 10:21 AM


LONDON - Pengurus sementara Chelsea, Rafael Benitez mempertahankan keputusannya untuk merehatkan beberapa pemain utama selepas skuad The Blues tewas mengejut 0-1 kepada Queens Park Rangers (QPR) pada aksi Liga Perdana England awal pagi semalam.

Kemenangan QPR di Stamford Bridge itu adalah yang pertama sejak tahun 1979, sekali gus melakar kejutan paling besar dalam saingan musim ini.

Pada pertemuan tersebut, Benitez meletakkan Ashley Cole, Ramires, Juan Mata dan Eden Hazard di bangku simpanan manakala Ryan Bertrand, Marko Marin, Victor Moses, Oscar dan Ross Turn- bull diberi kepercayaan untuk beraksi.

Pengendali berusia 52 tahun tersebut melakukan pertukaran pemain itu selepas beliau yakin pemain yang diturunkan mampu untuk membantu pasukan melakar kemenangan kelima berturut-turut.

Benitez berkata, sistem penggiliran pemain wajar digunakan selepas mereka mengharungi jadual perlawanan yang padat musim ini.

"Kami sangat letih dan sepakan yang dilakukan tidak tepat. Kami membuat kesilapan dan memberikan mereka lebih banyak peluang.

"Saya tidak menyesal dengan perubahan ini kerana kami juga tidak mampu untuk meneruskan permainan dengan pemain yang sama dalam setiap perlawanan.

"Jika pasukan anda beraksi di laman sendiri dan menentang kelab yang tercorot dalam liga, anda sepatutnya percayakan pemain anda. Saya percayakan mereka," kata Benitez.

Beliau mengakui hanya seorang penyerang iaitu Fernando Torres perlu direhatkan tetapi enggan mengulas lanjut mengenai perancangan terbaharu Chelsea bagi mendapatkan penyerang Newcastle United, Demba Ba.

"Saya tidak mengetahui situasi ini secara rasmi. Buat masa ini, dia (Ba) bukan pemain kami.

"Kelab sedang berusaha dan saya berharap kami akan dapat melihat pemain baharu nanti. Kemudian kami akan bercakap mengenai pemain ini.

"Jika segala-galanya dilakukan dengan cepat, mungkin dia akan berada di sini pada hujung minggu ini," jelas Benitez.

- Agensi


Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger