1News Online:
Home » , , » Chelsea Hampiri Kelab Manchester

Chelsea Hampiri Kelab Manchester

Tuesday, January 1, 2013 | 8:54 AM



LIVERPOOL - Pengurus sementara Rafael Benitez berkata, Chelsea tidak memikirkan mengenai merebut kejuaraan meskipun semakin menghampiri dua kelab Manchester selepas melakar empat kemenangan berturut-turut.

Kemenangan 2-1 di Everton kelmarin meletakkan Chelsea hanya empat mata di belakang pasukan tangga kedua, Manchester City dengan skuad kendalian Benitez kurang satu perlawanan.

Namun kelab Stamford Bridge itu masih 11 mata di belakang pendahulu, Manchester United.

Sekalipun kembali menemui sentuhan lamanya, Benitez menegaskan masih terlalu awal untuk mempertimbangkan peluang Chelsea untuk mencabar kejuaraan.

"Kami kurang satu dan kami harus memenanginya.

"Pendekatan kami dalam pertandingan liga adalah memikirkan satu perlawanan pada sesuatu masa. Kami tidak terlalu melihat kepada kedudukan liga.

"Buat masa ini, kami hanya fikir mengenai perlawanan akan datang dan buruan tiga mata seterusnya. Selepas beberapa perlawanan baru kita lihat di mana kita berada," kata Benitez.

Pelantikan Benitez bukan sesuatu yang popular dalam kalangan peminat setia kelab berikutan pemecatan Roberto Di Matteo yang membimbing Chelsea kepada trofi Liga Juara-Juara musim lalu.

Pada perlawanan kelmarin, Everton berada di depan selepas hanya seminit memasuki perlawanan di Goodison Park apabila Steven Pienaar menyudahkan bola yang terkena tiang selepas tandukan Victor Anichebe.

Namun, Chelsea bangkit menerusi Frank Lampard yang menyamakan kedudukan menerusi tandukan sebelum babak pertama berakhir.

Lampard menunjukkan kepada Chelsea masih banyak yang mampu dia ditawarkan kepada pasukan apabila muncul wira pasukannya dengan menjaringkan gol kemenangan pada separuh masa kedua.

Benitez turut memuji sumbangan Lampard, yang masa depannya di Stamford Bridge masih kabur kerana kontraknya yang bakal tamat hujung musim ini masih belum diperbaharui kerana polisi Chelsea yang tidak sanggup menawarkan kontrak lumayan untuk pemain berusia.

"Kami akan cuba dapatkan yang terbaik daripadanya dan pada hujung musim nanti, siapa tahu?

"Saya mahu dia cergas, gembira dan terus menyumbang gol. Dia masih mempunyai kontrak dan bermain dengan baik, itulah perkara paling penting sekarang," jelas Benitez. - AFP
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger