PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Liyana Jasmay meminta
petua daripada ibunya, Datin Habsah Simpon mengenai cara-cara untuk menjaga
keharmonian alam rumah tangga yang bakal dilaluinya tidak lama lagi.
Liyana, 24, yang akan bernikah dengan usahawan, Fathuddin
Mazlan, 28, berkata, ibunya telah memberikan pelbagai nasihat selain dia perlu
berdoa demi kebahagiaan perkahwinan.
"Sebagai seorang anak perempuan, semestinya saya akan
meminta pandangan atau nasihat daripada ibu tentang alam perkahwinan.
"Saya bertanyakan tentang bagaimana cara-cara untuk
bertolak ansur dan bagaimana nak kekalkan perhubungan dengan penuh rasa cinta.
"Ibu juga berkata yang saya sebagai isteri mestilah
berdoa selalu untuk suami, perkahwinan kami serta keluarga. Itu antara yang
paling penting," katanya ketika dihubungi.
Majlis akad nikah di antara Liyana dan Fathuddin akan
berlangsung di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur pada 2 Februari depan kira-kira
pukul 9.30 pagi manakala majlis persandingan pula akan diadakan pada sebelah
malamnya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Pasangan itu akan menggunakan khidmat pereka fesyen Jovian
Mandagie untuk persalinan majlis pernikahan dan resepsi.
Pelakon filem Papadom itu menambah, dia juga berhasrat untuk
menghasilkan sebuah drama atau telefilem berkenaan kisah cintanya dengan
Fathuddin menerusi syarikat produksi miliknya iaitu Mermaid Studios.
"Saya nak sangat kongsi kisah hubungan kami menerusi
telefilem. Insya-Allah ia akan di terbitkannya satu hari nanti.
"Apa-apa pun selepas kahwin, saya akan berdebar
menantikan kemunculan tiga filem lakonan saya pula yang akan ditayangkan pada
tahun ini iaitu Papadom 2, Tokan dan Isyarat Cinta," ujarnya. -Mstar
Post a Comment