1News Online:
Home » , , » Mancini dan Balotelli gaduh di kem latihat

Mancini dan Balotelli gaduh di kem latihat

Saturday, January 5, 2013 | 7:36 AM




MANCHESTER - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini memanggil Mario Balotelli sebagai 'sangat gila' ketika kedua-dua mereka bergaduh besar pada sesi latihan pasukan, semalam.

Balotelli kini dalam perjalanan untuk meninggalkan City selepas dia menjadi sasaran kemarahan Mancini di depan rakan-rakan sepasukan.

Namun, Mancini juga mungkin akan mengikut jejak bintang penyerang Itali itu, ditunjukkan jalan keluar dari Manchester.

Beberapa pemain City berasakan pengurus mereka sering memalukan penyerang panas baran itu di depan khalayak dan sesetengah mereka percaya, Mancini sudah keterlaluan kali ini.

Punca pergaduhan tercetus apabila Mancini, yang membawa City muncul juara Liga Perdana Inggeris musim lalu memarahi Balotelli kerana melakukan kekasaran bodoh ke atas rakan sepasukan, Scott Sinclair ketika latihan.

Dia mengarahkan penyerang berusia 22 tahun itu supaya meninggalkan padang latihan dan pergi ke bilik persalinan, namun Balotelli mengingkari arahannya menyebabkan dia berang.

Dengan muka yang sangat marah, pengendali kelahiran Itali itu datang kepada Balotelli lalu berkata: "Kamu memang sangat gila."

Kedua-duanya kemudian bertukar kata-kata kesat, namun sebelum keadaan menjadi bertambah buruk, pembantu jurulatih, Brian Kidd dan Angelo Gregucci segera meleraikan mereka.

Balotelli, yang tergamam terpaksa ditenteramkan oleh Gregucci sebelum dia meninggalkan Carrington sambil memberitahu rakan-rakan sepasukan bahawa kariernya di City sudah berakhir.

Meskipun pemain itu memang terkenal dengan sikap buruknya pada masa lalu, namun kali ini Balotelli mendapat sokongan rakan-rakan sepasukan yang berasakan dia tidak berhak diberi layanan buruk hanya kerana mengkasari buku lali rakan sepasukan secara tidak sengaja.

Seorang sumber dalaman City mendedahkan kepada akhbar tempatan: "Ia sangat memalukan. Anda tidak akan tengok (Alex) Ferguson atau mana-mana pengurus kelab atasan berkelakuan seperti itu, menyerang pemain sendiri secara fizikal.

"Ia sudah banyak kali terjadi sepanjang Mancini menjadi pengurus di sini. Sudah tentu bukan adegan air mata yang berlaku apabila dua lelaki bergaduh."

Pergaduhan semalam berlaku hanya beberapa minggu selepas Balotelli menggugurkan tribunal Liga Perdana untuk menentang City.

Balotelli sebelum ini enggan membayar denda 340,000 pound (RM1.66 juta) yang dikenakan terhadapnya ekoran masalah disiplin buruk sepanjang musim lalu, namun dia akhirnya mengalah.

Bintang Itali itu baru kembali menjalani sesi latihan selepas pulih daripada masalah kesihatan dan dia dijadual beraksi menentang Watford dalam perlawanan Piala FA hari ini selepas Sergio Aguero terpaksa diketepikan akibat kecederaan lutut. - AGENSI
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger