Orang ramai diingatkan supaya tidak menyebarkan
berita palsu melalui internet atau khidmat pesanan ringkas (SMS) kerana mereka
boleh dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang iaitu denda sehingga
RM50,000 atau penjara selama setahun atau kedua-duanya sekali.
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata, hukuman tersebut boleh dikenakan
mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan berita
palsu melalui SMS atau media sosial kerana berita palsu seperti yang ditulis
dalam blog boleh mengganggu gugat keselamatan negara, kesejahteraan masyarakat
dan merupakan pengaruh buruk terhadap kedudukan ekonomi masa kini,"
katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai penyebaran
berita palsu kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diserang
strok ringan.
Post a Comment