1News Online:
Home » , , » United perlu sentiasa waspada

United perlu sentiasa waspada

Friday, January 4, 2013 | 10:19 AM



LONDON - Rio Ferdinand percaya Manchester United terlepas kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim lalu disebabkan terlalu bimbang mengenai Manchester City.

Untuk itu, Ferdinand memberi amaran kepada rakan sepasukannya supaya tidak lagi gagal dengan perangkap yang berbeza musim ini iaitu dengan memikirkan bahawa saingan kejuaraan sudah berakhir hanya kerana Robin van Persie kerap menjaringkan gol.

Seperti pemain lain, Ferdinand juga teruja dengan impak Van Persie di United.

Penyerang Belanda itu telah pun menjaringkan 19 gol sejak meninggalkan Arsenal pada musim panas lalu.

Namun Ferdinand, 34, meminta pemain berhati-hati selepas United mengekalkan kelebihan tujuh mata pada tangga teratas selepas membelasah Wigan 4-0 Selasa lalu.

"Apa yang dilakukan oleh Robin amat menakjubkan namun perjuangan belum selesai.

"Kami belum berada pada penghujung musim lagi. Belum ada pingat yang dikalungkan kepada pemenang. Kami tidak boleh terlalu gembira.

"Musim lalu kami terlalu memberi tumpuan kepada City kerana buat pertama kali mereka benar-benar memberikan cabaran dan ketika itu banyak tumpuan diberikan kepada Manchester.

"Musim ini kami tidak harus memberikan fokus kepada lain-lain pasukan, sebaliknya hanya pada pasukan sendiri," katanya.

Tegas Ferdinand lagi, tidak kira bagaimana pasukannya memenangi kejuaraan liga, ia biasanya bergantung kepada kumpulan pemain dan bukannya individu.

"Van Persie pemain yang penting. Pengurus melihat sesuatu pada dirinya dan mempunyai misi untuk membelinya.

"Ketika ini dia melakukan apa yang dia harus lakukan di sini.

"Dia bukan sahaja menjaringkan gol, dia mengawal bola dengan baik di bahagian serangan dan melakukan hantaran kepada pemain lain. Dia melaksanakan tugasnya dengan baik.

"Memang mudah untuk seseorang pemain cepat menyesuaikan diri di kelab itu. Kami memiliki pemain dan skuad yang hebat," katanya.

Ferdinand juga yakin United perlu mengekalkan momentum selepas meraih 10 mata daripada empat perlawanan ketika cuti Krismas dan tahun baru. - AGENSI
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger